Shut, and read...

Shut, and read...

Wednesday, January 23, 2013

Manusia Agung, Peribadi Unggul

Assalamualaikum....

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW dan semua kaum kerabat baginda.  Nabi akhir zaman, pemimpin sekelian alam. Baginda merupakan rasul dan nabi terakhir dan tiada lagi selepas Baginda. Tatkala segenap lapisan masyarakat menyeru untuk mencintai nabi Muhammad SAW, mungkin ada sebilangan yang masih belum mengenali sepenuhnya.


1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Mekah)
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6.Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8.Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH

USIA 5 TAHUN
* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
* Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
* Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
* Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
* Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
* Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

* Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

dipetik dari ahmad-sanusi-husain.com 

 KEPERIBADIAN RASULULLAH SUNGGUH TERPUJI

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: “Sejak aku menjadi Muslim, tidak pernah Rasulullah berjumpa dengan ku melainkan senyum pada ku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata ‘Abdullah bin al-Harith: “Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah SAW” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, Baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan Baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila Baginda ingin mengkritik seseorang Baginda tidak menyebut: “Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu”, tetapi Baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Di sini kita dapat lihat bagaimana Rasulullah ini merupakan seorang yang sangat tinggi dan suci nilai budi pekerti baginda sesama manusia yang sepatutnya kita terapkan dalam kehidupan hari ini.

Kehalusan budi

Kata Anas bin Malik: “Aku berkhidmat kepada Nabi 10, tidak pernah Baginda berkata kepada ku ‘ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: “mengapa engkau buat begitu?”.

Tidak kepada apa yang aku tidak buat: “mengapa engkau tidak buat?” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Nabi seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak’ apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda: “Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersama ku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang”. (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkuk Baginda, kemudian bercakap kasar dengan Baginda. Namun Baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan permintaannya.
 
Keperibadian Rasulullah sungguh lengkap. Begitu banyak lagi nilai budi pekerti Rasulullah yang merupakan manusia agung sepanjang zaman ini. Baginda seorang muslim, anak, suami, bapa serta pemimpin yang sangat lengkap dan tinggi nilai akhlaknya. 
 
Semoga kita dapat turuti dan menghayati serta akhirnya mengamalkan segala keperibadian Rasulullah ini in syaa Allah.
 
Ya Allah ya Tuhanku, lindungilah daku dan berikanku petunjuk agar diri ini tidak terpesong ke landasan kehidupan selain yang disyariatkan oleh Mu. Amin.
 
 
"dosa pahalaku Tuhan Saja Yang Tahu"
 
-Affirmative Voice-
 
 
SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL   

No comments:

Post a Comment

Apa lagi tu, sila2..