Shut, and read...

Shut, and read...

Monday, December 23, 2013

Skim Baru Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera...

Pada 16 Disember 2013 lepas kerajaan Malaysia telahpun mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bil. 40/2013 untuk memaklumkan dan melaksanakan penggabungan skim perkhidmatan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) serta Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) kepada satu skim bersepadu iaitu skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Apa yang baharu di dalam skim ini, skim ini adalah skim yang menyeluruh merangkumi kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Professional.

Gambaran skim baharu ini boleh dipermudahkan dengan gambar rajah berikut: 


Dengan ini, skim perkhidmatan bagi Kumpulan Pelaksana akan disekalikan dengan Kumpulan Pengurusan dan Professional. Semua gred akan diselaraskan kepada DG berbanding DGA bagi Kumpulan Pelaksana dan DG bagi Kumpulan Pengurusan dan Professional. 

Apa yang lebih menariknya bagi skim baharu ini, terdapatnya gaji permulaan bagi pegawai yang memiliki ijazah sarjana serta doktor falsafah pada Gred DG41.

Bagi pegawai yang mempunyai ijazah sarjana, gaji permulaan pada gred DG41 yang ditetapkan ialah sejumlah RM2733.98.

Bagi pegawai yang mempunyai ijazah doktor falsafah pula, gaji permulaan pada gred DG41 yang ditetapkan ialah sejumlah RM 3040.60.

Hal ini beerti, pegawai-pegawai yang mempunyai ijazah sarjana dan ke atas akan menikmati gaji yang lebih tinggi berbanding pegawai-pegawai lain yang mempunyai gred atau tangga gaji yang sama dengannya. 

Pegawai-pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma yang menyambung pelajarannya di peringkat ijazah sarjana muda pula, akan dinaikkan gred kepada DG42 (jika menepati syarat yang ditetapkan). 



Sejajar dengan usaha kerajaan dalam menjayakan Program Pensiswazahan Guru, skim baharu ini  umpama memberikan satu semangat dan anjakan usaha kepada guru-guru untuk memajukan tahap pendidikan pendidikan mereka kepada yang lebih tinggi. 

Untuk maklumat dan perincian yang lebih lanjut, boleh lihat sendiri pekeliling perkhidmatan tersebut di sini



p/s: boleh la sambung master. hehehehehehehehehehe.....


"Dosa pahalaku Allah saja yang tahu"

-Syamim-

Friday, December 20, 2013

Kemas Kini

Assalamualaikum pembuka bicara...

Setelah berkurun lamanya meninggalkan laman ini, rasanya sudah tiba masa untuk mengemaskini kembali segala post dan menerbitkan post yang baru. Mungkin pada kali ini dan akan datang, saya perlu memikirkan untuk menerbitkan hasil terbitan yang lebih ilmiah, lebih berunsurkan politik matang, lebih tinggi nilai kapasiti inputnya dan lebih tuntas.


Moga-moga pada kali ini, tidak putus-putus.

"dosa pahalaku Allah sahaja yang tahu"

-Syamim-

Tuesday, March 5, 2013

Balu Sultan Sulu dakwa ceroboh Sabah hanya drama


MANILA - Balu kepada Sultan Sulu, Mohd Mahakuttah Kiram percaya pertempuran yang sedang berlaku di Sabah hanya satu drama dan menegaskan ia hanya sebagai pelan permainan untuk mendapatkan kembali hak milik mereka.

Bercakap kepada pemberita semalam, Puteri Maryam Kiram mendakwa yang dirinya juga pernah ditawar untuk menjadi sebahagian dari drama oleh pihak-pihak berkenaan satu ketika dahulu.
Maryam Kiram

“Saya yakin perkara ini hanya drama selepas saya pernah duduk sekali bersama mereka.

"Saya juga bersedia untuk berunding bagi menyelesaikan konflik ini dari terus berlanjutan. Penyelesaian bersama kedua-dua belah pihak dapat dicapai,” ujar beliau dipetik The Philippine Star.

Maryam bagaimanapun tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan sebagai "drama" tetapi mendakwa yang media turut memainkan peranan dalam mengada-adakan cerita.

Beliau yang mendakwa mewakili Kesultanan Sulu berkata ahli keluarga diraja telah menubuhkan Yayasan Diraja Kesultanan Sulu.

Maryam turut berharap dapat mengadakan perbincangan dengan pemimpin Malaysia.

Beliau turut yakin yang kerajaan Malaysia mengamalkan sikap terbuka dan mampu menyelesaikan perkara ini secara baik.

Sumber: Sinarharian.com.my  

Tuesday, February 5, 2013

Guru lepasan IPG lewat diberi penempatan


Guru lepasan IPG lewat diberi penempatan

Guru Pelatih PISMP IPG,
Kami mewakili sebahagian besar daripada guru-guru pelatih PISMP Ambilan Januari 2009 keluaran Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah menamatkan pengajian pada bulan November 2012.

Untuk pengetahuan semua, sebahagian daripada kami telah ditempatkan secara interim di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) yang majoritinya adalah daripada kaum Cina dan India serta sebahagian daripada kaum Melayu untuk ditempatkan di sekolah disebabkan oleh keadaan guru yang kritikal di SJKC/T.

Bukan untuk menimbulkan isu perkauman di sini kerana mereka ditempatkan di sekolah namun terdapat sedikit situasi yang kurang senang kerana ada sebahagian daripada guru pelatih yang sepatutnya ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) telah ditarik ke SJKC/T.

Malah ada dalam kalangan guru pelatih yang tidak fasih bahasa ibunda mereka juga turut ditarik ke SJKC meninggalkan kami yang perlu ke SK terkapai-kapai menunggu penempatan ke SK yang entah bila berkunjung tiba. Menteri berkenaan juga turut mengatakan bahawa guru-guru pelatih yang ke SK perlu ditemuduga terlebih dahulu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) yang wajib dilalui oleh setiap penjawat awam tidak seperti kumpulan ke SJKC/T yang diberikan interim terlebih dahulu. 



Di sini wujud ketidakadilan dalam penempatan guru. Slogan 1 Malaysia tidak dipraktikkan di sini kerana tidak berlaku penempatan di SK. Ada juga aduan dalam kalangan kami iaitu dalam satu kelas, hanya dua orang daripada rakan mereka diinterimkan dan selebihnya terpaksa menunggu.

Masalah kekurangan guru bukan sahaja di SJKC/T malah di SK juga. Ada segelintir guru-guru sekolah daripada senior kami yang tertunggu-tunggu bila kami akan ditempatkan di sekolah mereka bertugas sebagaimana sebelum ini iaitu seawal Januari dan awal Februari guru baru ditempatkan. 

Jika masalah ini berlanjutan maka kami akan menjadi kumpulan terlambat dalam sejarah kumpulan PISMP keluaran IPG ditempatkan di sekolah. Kumpulan kami tidak seperti dua kumpulan terdahulu (Ambilan Januari 2007 dan Januari 2008). Kumpulan Pertama mula diserap lebih awal iaitu sebelum temuduga lagi. Begitu juga Kumpulan Kedua diserap seawal Januari 2012 (temuduga sejurus tamat kursus) tanpa masalah yang besar. Kemungkinan Pilihan Raya Umum yang menjelang tiba ini menjadi puncanya. 

Kumpulan ketiga ini diibaratkan menjadi ‘tikus makmal’ kementerian. Cukuplah kami menjadi tikus makmal KPM dalam dasar-dasar sebelum ini yang akhirnya entah ke mana seperti PPSMI. Kami berpendapat kalau hendak memberikan interim sekalipun tidak perlulah hanya untuk SJKC/T sahaja, SK pun kritikal juga keperluan guru.

Kami juga guru pelatih PISMP terikat dengan kontrak Perjanjian Pendidikan Guru (PPG) dengan Kementerian Pelajaran Malaysia yang perlu dipatuhi sebagai rakyat yang bertanggungjawab terhadap undang-undang yang termaktub oleh kerajaan. Di bawah fasal 2.7 (a) di mana kami dikehendaki untuk berkhidmat dengan kerajaan sahaja. Maka kelewatan Kementerian Pelajaran Malaysia memberikan penempatan kepada kami telah menyulitkan kehidupan kami secara amnya. 

Kami  tidak dapat bekerja sambilan untuk menampung kehidupan selama pengangguran kerana terikat dengan kontrak tersebut. Rasa serba salah turut menyelubungi diri kami. Malahan ada di antara kami yang sudah berkahwin memerlukan wang untuk menyara isteri dan anak. Ketiadaan pekerjaan menganggu kelangsungan hidup kami. Kami selaku guru pelatih keluaran IPGM yang telah dilatih untuk menjadi seorang guru selama 5 tahun setengah sudah tidak sabar lagi untuk menjalankan tugas sebagai seorang pendidik. Kami sangat bersemangat dan amat berkobar-kobar untuk mendidik anak bangsa berkat usaha didikan para pensyarah kami di 27 IPG seluruh negara.

Oleh sebab itu kami amat berharap dengan tersiarnya surat aduan ini  di dalam akhbar pihak tuan, ia dapat membuka mata pihak Kementerian Pelajaran Malaysia agar mengambil tindakan segera terhadap masalah kami ini. Tidak timbul isu lambakan guru seperti disiarkan akhbar baru-baru ini sedangkan IPG masih lagi mengadakan pengambilan secara berterusan setiap tahun. Memang benar rezeki daripada tangan Allah yang mengurniakan tetapi kalau kami tidak berusaha, tidak ada gunanya juga. Pendidikan Perguruan bukan untuk diniagakan dan kami juga sebagai guru pelatih tidak mahu dilelong sebagaimana watak di dalam filem ‘3 Abdul’ yang dilelong di pasar untuk masuk sebagai guru di sekolah.

Dipetik dari Harakahdaily.net

Friday, February 1, 2013

Permohonan baru tubuh IPTS dibeku mulai 1 Februari: Khaled

Putrajaya: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini mengumumkan moratorium atau pembekuan pemohonan penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) baru berstatus universiti, kolej universiti dan kolej selama dua tahun mulai 1 Februari ini. 

Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pembekuan itu dikecualikan kepada permohonan IPTS yang sedang diproses, permohonan menaik taraf dan kampus luar negara yang mempunyai rangking terbaik dunia dan dibina dalam hab pendidikan. 

"Selaras dengan perkembangan sektor pendidikan yang dinamik khususnya pengajian tinggi swasta hari ini, kementerian perlu lebih terbuka dalam menyemak semula semua peraturan dan garis panduan semasa supaya bersifat lebih bersifat menyeluruh. 





"Perkara ini adalah bagi memyokong kepada pelaksanaan dasar liberalisasi pengajian tinggi yang bakal menjadi sektor pengajian tinggi di Malaysia lebih berdaya saing dan setanding dengan negara maju," katanya ketika berucap sempena Majlis Amanat Tahun Baru 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini sebentar tadi. 

Sehubungan itu, Khaled berkata inisiatif semakan semula terhadap peraturan- peraturan dan garis panduan di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 akan dilaksanakan dengan pembentukan satu jawatankuasa dipengerusikan oleh Naib Canselor Taylor University.

-Dipetik dari bharian.com.my

p/s: they should done it earlier....

-Affirmative Voice-

Wednesday, January 23, 2013

Manusia Agung, Peribadi Unggul

Assalamualaikum....

Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW dan semua kaum kerabat baginda.  Nabi akhir zaman, pemimpin sekelian alam. Baginda merupakan rasul dan nabi terakhir dan tiada lagi selepas Baginda. Tatkala segenap lapisan masyarakat menyeru untuk mencintai nabi Muhammad SAW, mungkin ada sebilangan yang masih belum mengenali sepenuhnya.


1. Nama: Muhammad bin ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
2. Tarikh lahir: Subuh Isnin, 12 Rabiulawal / 20 April 571M (dikenali sebagai tahun gajah; sempena peristiwa tentera bergajah Abrahah yang menyerang kota Mekah)
3. Tempat lahir: Di rumah Abu Talib, Makkah Al-Mukarramah
4. Nama bapa: ‘Abdullah bin ‘Abdul Muttalib bin Hashim
5. Nama ibu: Aminah binti Wahab bin ‘Abdul Manaf
6.Pengasuh pertama: Barakah Al-Habsyiyyah (digelar Ummu Aiman. Hamba perempuan bapa Rasulullah SAW)
7. Ibu susu pertama: Thuwaibah (hamba perempuan Abu Lahab)
8.Ibu susu kedua: Halimah binti Abu Zuaib As-Sa’diah (lebih dikenali Halimah As-Sa’diah. Suaminya bernama Abu Kabsyah)

SEJARAH RINGKAS RASULULLAH

USIA 5 TAHUN
* Peristiwa pembelahan dada Rasulullah SAW yang dilakukan oleh dua malaikat untuk mengeluarkan bahagian syaitan yang wujud di
dalamnya.

USIA 6 TAHUN
* Ibunya Aminah binti Wahab ditimpa sakit dan meninggal dunia di Al-Abwa’ (sebuah kampung yang terletak di antara Mekah dan Madinah)
* Baginda dipelihara oleh Ummu Aiman (hamba perempuan bapa Rasulullah SAW) dan dibiayai oleh datuknya ‘Abdul Muttalib.

USIA 8 TAHUN
* Datuknya, ‘Abdul Muttalib pula meninggal dunia.
* Baginda dipelihara pula oleh bapa saudaranya, Abu Talib.

USIA 9 TAHUN (Setengah riwayat mengatakan pada usia 12 tahun).
* Bersama bapa saudaranya, Abu Talib bermusafir ke Syam atas urusan perniagaan.
* Di kota Busra, negeri Syam, seorang pendita Nasrani bernama Bahira (Buhaira) telah bertemu ketua-ketua rombongan untuk menceritakan tentang pengutusan seorang nabi di kalangan bangsa Arab yang akan lahir pada masa itu.

USIA 20 TAHUN
* Terlibat dalam peperangan Fijar. Ibnu Hisyam di dalam kitab ‘Sirah’ , jilid 1, halaman 184-187 menyatakan pada ketika itu usia Muhammad SAW ialah 14 atau 15 tahun. Baginda menyertai peperangan itu beberapa hari dan berperanan mengumpulkan anak-anak panah sahaja.
* Menyaksikan ‘ perjanjian Al-Fudhul’; perjanjian damai untuk memberi pertolongan kepada orang yang dizalimi di Mekah.

USIA 25 TAHUN
* Bermusafir kali kedua ke Syam atas urusan perniagaan barangan Khadijah binti Khuwailid Al-Asadiyah.
* Perjalanan ke Syam ditemani oleh Maisarah; lelaki suruhan Khadijah..
* Baginda SAW bersama-sama Abu Talib dan beberapa orang bapa saudaranya yang lain pergi berjumpa Amru bin Asad (bapa saudara Khadijah) untuk meminang Khadijah yang berusia 40 tahun ketika itu.
* Mas kahwin baginda kepada Khadijah adalah sebanyak 500 dirham.

USIA 35 TAHUN
* Banjir besar melanda Mekah dan meruntuhkan dinding Ka’abah.
* Pembinaan semula Ka’abah dilakukan oleh pembesar-pembesar dan penduduk Mekah.
* Rasulullah SAW diberi kemuliaan untuk meletakkan ‘Hajarul-Aswad’ ke tempat asal dan sekaligus meredakan pertelingkahan berhubung perletakan batu tersebut.

USIA 40 TAHUN

* Menerima wahyu di gua Hira’ sebagai perlantikan menjadi Nabi dan Rasul akhir zaman.

USIA 53 TAHUN
* Berhijrah ke Madinah Al-Munawwarah dengan ditemani oleh Saidina Abu Bakar Al-Siddiq.
* Sampai ke Madinah pada tanggal 12 Rabiulawal/ 24 September 622M.

USIA 63 TAHUN
* Kewafatan Rasulullah SAW di Madinah Al-Munawwarah pada hari Isnin, 12 Rabiulawal tahun 11H/ 8 Jun 632M.

ISTERI-ISTERI RASULULLAH S.A.W
1. Khadijah Binti Khuwailid
2. Saudah Binti Zam’ah
3. Aisyah Binti Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar)
4. Hafsah binti ‘Umar (anak Saidina ‘Umar bin Al-Khattab)
5. Ummi Habibah Binti Abu Sufyan
6. Hindun Binti Umaiyah (digelar Ummi Salamah)
7. Zainab Binti Jahsy
8. Maimunah Binti Harith
9. Safiyah Binti Huyai bin Akhtab
10.Zainab Binti Khuzaimah (digelar ‘Ummu Al-Masakin’; Ibu Orang Miskin)

ANAK-ANAK RASULULLAH S.A.W

1. Qasim
2. Abdullah
3. Ibrahim
4. Zainab
5. Ruqaiyah
6. Ummi Kalthum
7. Fatimah Al-Zahra’

dipetik dari ahmad-sanusi-husain.com 

 KEPERIBADIAN RASULULLAH SUNGGUH TERPUJI

Baginda selalu memberikan senyuman. Kata Jarir bin ‘Abdillah: “Sejak aku menjadi Muslim, tidak pernah Rasulullah berjumpa dengan ku melainkan senyum pada ku” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata ‘Abdullah bin al-Harith: “Aku tidak pernah melihat seseorang lebih banyak senyuman daripada Rasulullah SAW” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Dalam hadis sahih riwayat Ibn Majah, Nabi itu apabila berjabat tangan dengan seseorang, Baginda tidak akan menarik tangannya sehinggalah orang tersebut menariknya.

Percakapan Baginda pula jelas, tidak tergesa-gesa dan difahami oleh setiap yang mendengar. Apabila Baginda ingin mengkritik seseorang Baginda tidak menyebut: “Mengapa si dia itu melakukan atau berkata begitu”, tetapi Baginda menyebut: “Mengapa ada pihak yang berkata sebegini” (Riwayat Abu Daud, sahih).

Di sini kita dapat lihat bagaimana Rasulullah ini merupakan seorang yang sangat tinggi dan suci nilai budi pekerti baginda sesama manusia yang sepatutnya kita terapkan dalam kehidupan hari ini.

Kehalusan budi

Kata Anas bin Malik: “Aku berkhidmat kepada Nabi 10, tidak pernah Baginda berkata kepada ku ‘ah! (mengherdik). Tidak pula berkata kepada apa yang aku lakukan: “mengapa engkau buat begitu?”.

Tidak kepada apa yang aku tidak buat: “mengapa engkau tidak buat?” (Riwayat al-Tirmizi, sahih).

Nabi seorang yang pemurah. Tidak pernah berkata ‘tidak’ apabila diminta sesuatu haknya. Baginda bersabda: “Jika aku memiliki emas sebesar Bukit Uhud, aku tidak suka berlalu tiga malam sedangkan masih ada sedikit emas itu bersama ku. Melainkan sedikit untuk membayar hutang”. (Riwayat al-Bukhari).

Baginda seorang yang santun. Dalam riwayat al-Bukhari, pernah seseorang datang kepadanya, menarik rida’ (kain di leher baginda) dengan kuat sehingga berbekas di tengkuk Baginda, kemudian bercakap kasar dengan Baginda. Namun Baginda memandang kepada orang itu dengan senyuman dan memerintahkan agar diberikan permintaannya.
 
Keperibadian Rasulullah sungguh lengkap. Begitu banyak lagi nilai budi pekerti Rasulullah yang merupakan manusia agung sepanjang zaman ini. Baginda seorang muslim, anak, suami, bapa serta pemimpin yang sangat lengkap dan tinggi nilai akhlaknya. 
 
Semoga kita dapat turuti dan menghayati serta akhirnya mengamalkan segala keperibadian Rasulullah ini in syaa Allah.
 
Ya Allah ya Tuhanku, lindungilah daku dan berikanku petunjuk agar diri ini tidak terpesong ke landasan kehidupan selain yang disyariatkan oleh Mu. Amin.
 
 
"dosa pahalaku Tuhan Saja Yang Tahu"
 
-Affirmative Voice-
 
 
SELAMAT MENYAMBUT MAULIDUR RASUL   

Sunday, January 13, 2013

Menilai Amanat Haji Hadi Dengan Adil


MENILAI AMANAT HAJI HADI DENGAN ADILProf Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Isu Amanat YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang sedang dibangkit menjelang Pilihanraya ke-13 ini. Walaupun amanat tersebut lebih dari 30 tahun usianya, namun seperti biasa politik mampu membangkit-ungkit apa sahaja. Kedua belah pihak; kerajaan dan pembangkang memakai pendekatan yang hampir sama. Cumanya, ‘kelebihan’ kerajaan di negara kita ini ia menggunakan media awam demi tujuan politik kepartian. Saya tidak pasti apakah jika pembangkang hari ini jika berkuasa akan menggunakan pendekatan yang sama ataupun tidak?!
Amanat
Amanat Haji Hadi itu berbunyi:
Saudara-saudara sekelian percayalah, Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,
Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.
Adil
Saya ingin mengajak pembaca melihat isu amanat ini di luar dari kerangka fanatik kepartian, sebaliknya menelusurinya secara fakta dan rasional.
Amanat Hj Hadi itu dibuat pada tahun 1981 dalam ceramahnya pada 7 April di Kpg Banggol Peradong. Ketika itu saya masih lagi bersekolah rendah. Saya rasa bukan DS Abdul Hadi yang menamakannya amanat, sebaliknya ia adalah initiatif orang-orang PAS sendiri. Apakah amanat ini satu-satunya punca sebahagian orang PAS mengkafirkan UMNO? Saya tidak pasti. Namun kita tahu, ramai guru-guru agama yang lain yang pro-PAS juga mengkafirkan UMNO. Ada sesetengah tokoh agama yang mengkafirkan UMNO ketika itu kemudiannya masuk UMNO dan mendapat pelbagai jawatan.
Saya sendiri pernah berjumpa orang-orang PAS yang mengkafirkan UMNO. Bahkan saya pernah berjumpa mereka yang mengharamkan bersekolah di sekolah kerajaan kerana kononnya ‘sekular’ dan seumpamanya. Ertinya, kafir-mengkafir disebabkan perbezaan parti politik telah berlaku dalam sejarah umat Islam dalam negara ini. Fatwa-fatwa PAS terutamanya dari Pantai Timur telah mencetuskan fenomena tersebut.
YB Dr Mujahid Yusuf iaitu seorang ahli Parlimen PAS, tokoh reformis dalam PAS dan anak bekas Presiden dan Murshidul ‘Am PAS dalam bukunya ‘Menuju PAS Baru’ menghuraikan isu ketika itu dengan menyebut:
“Akibatnya berlakulah isu kafir-mengkafir di mana tanggapan bahawa menyokong UMNO adalah sesuatu yang bertentangan dengan sikap Islam dan dengan sebab itu boleh jatuh kufur kerana UMNO parti secular yang menolak Islam… penghujahan atas garis-garis fikah yang premisnya adalah batas-batas kekufuran telah membawa agenda politik menjadi terlalu pekat dengan adunan ‘fatwa’ sehingga PAS diheret dalam kancah ini, malah ‘Amanat Haji Hadi’ telah dijadikan alasan kepada berlakunya semua kemelut ini” (m/s 115. Kuala Lumpur: Malaysian Insider Sdn Bhd).
Mungkin DS Hadi sendiri tidak pernah menyebut UMNO kafir secara jelas, namun sikap kebanyakan tokoh PAS yang tidak menangani isu-isu mengkafir ataupun seakan membiarkan orang awam PAS mengkafirkan orang UMNO sehingga berlaku dua imam, tidak makan sembelihan, tidak menjawab salam dan lain-lain ketika itu, amat mendukacitakan.
Konteks
Dalam memahami sesuatu teks, kita wajar melihat kepada konteks. Hakikatnya, pendekatan PAS ketika itu bukanlah asing jika dilihat kepada perkembangan gerakan Islam secara keseluruhan. Pada 70an dan 80an kebangkitan Islam berlaku di Asia. Kesedaran tentang perlunya umat Islam kembali kepada Islam dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan kedengaran di sana-sini. Buku tokoh-tokoh gerakan Islam di Timur Tengah menjadi menu penting para aktivis ketika itu. Buku-buku itu ditulis oleh tokoh-tokoh berkenaan dalam keadaan tekanan yang berat oleh regim-regim Arab yang sangat zalim dan khianat. Mereka juga biadap terhadap Allah dan rasulNYA. Mereka yang membaca buku-buku cuba menyamakan hal tersebut dengan keadaan setempat.
Isu takfir (mengkafirkan) juga timbul di Timur Tengah sehingga Murshidul ‘Am al-Ikhwanul al-Muslimin menulis buku “Du‘aah La Qudah” (Pendakwah Bukan Hakim) bagi tujuan menangani isu ini.
Fatwa-fatwa ulama juga dibaca kepada masyarakat. Antaranya, fatwa Mufti Saudi masa itu al-Sheikh ‘Abd al-‘Aziz ‘Abdillah bin Baz yang menyenaraikan perkara-perkara yang membatalkan Islam, dalam ertikata lain menjadikan seseorang kafir. DS Hadi ketika itu antara yang mempopularkannya. Dalam fatwa itu antaranya menyebut:
“Berkeyakinan bahawa selain tuntutan Nabi Muhammad saw. Itu lebih sempurna, atau berkeyakinan bahawa selain ketentuan hukum beliau itu lebih baik, sebagaimana mereka yang mengutamakan aturan-aturan manusia yang melampaui batas lagi menyimpan dari hukum ALLAH (aturan-aturan Taghut), dan mengenepikan hukum Rasulullah saw. Maka yang berkeyakinan seperti ini adalah kafir. Sebagai contoh: Berkeyakinan bahawa aturan-aturan dan perundang-undangan yang diciptakan manusia lebih utama daripada syaria’t Islam, atau berkeyakinan bahawa aturan Islam tidak tepat untuk diterapkan pada abad kedua puluh ini, atau berkeyakinan bahawa Islam adalah sebab kemunduran kaum muslimin, atau berkeyakinan bahawa Islam itu terbatas dalam mengatur hubungan manusia dengan Tuhannya saja, tidak mengatur urusan segi kehidupan lain. Berpendapat bahawa melaksanakan hukum ALLAH dalam memotong tangan pencuri, atau merejam pelaku zina yang telah kahwin (muhsan), tidak sesuai lagi di masa kini…”
Walaupun ini hanyalah kaedah umum yang perlukan perbahasan dan perinciannya, malangnya kalangan orang PAS ketika itu telah menggunakannya secara ‘borong’ untuk mengkafirkan setiap penyokong UMNO. Ia disuburkan lagi dengan kuliah-kuliah agama PAS yang menegaskan persoalan ini tanpa perbahasan yang mencukupi. Menerangkan tentang batasan iman dan kufur adalah suatu kewajipan, namun mengkafirkan individu memerlukan penelitian dan kecermatan.
Suatu perkara yang tidak boleh disembunyikan juga, UMNO pada era 70an dan 80an bukanlah seperti UMNO hari ini. Ucapan-ucapan yang tidak selaras dengan Islam, ataupun dengan seakan menghina Islam kadang-kala kedengaran di sana-sini. Proses Islamisasi dalam UMNO belum berlaku ketika itu. Sikap angkuh dan dominasi yang melampau juga wujud. Orang PAS dapat merasai sikap tidak adil kepada mereka, bermula dari JKKK di kampung sehingga ke atas. Ini menyuburkan lagi kecenderungan menghukum UMNO dengan fatwa-fatwa yang keras. Ini tidaklah menghalalkan PAS mengkafirkan keseluruhan UMNO, namun itulah realiti ketika itu. Sikap UMNO ketika itu juga menyumbang kepada keadaan itu.
Pada masa tersebut kematangan PAS dan gerakan Islam yang lain juga amat terhad. Mereka belum ada pengalaman pemerintahan. Bahkan saya percaya, Haji Hadi ketika itu tidak begitu mendalami hakikat Perlembagaan Malaysia seperti hari ini. Hari ini jika kita membaca YB PAS Dr Mujahid Yusof menulis dalam bukunya ‘Rejuvenasi PAS’, beliau membincangkan tajuk ‘Islam Dalam Kerangka Perlembagaan’, kita mendapati tokoh PAS ini melihat perlembagaan dengan harmoni yang mempunyai ruang untuk Islam. Hal ini 30 tahun lepas tidak pernah diungkapkan dalam PAS.
PAS Berubah
PAS hari ini saya lihat banyak berubah. Saya percaya sudah ramai yang tidak beriktikad seperti Amanat Haji Hadi termasuk diri Haji Hadi sendiri. Jika PAS masih berpegang dengan Amanah lama DS Hadi itu, bererti mereka mengkafirkan diri sendiri dan rakan-rakan mereka dalam Pakatan Rakyat yang menerima dan mengiktiraf Perlembagaan. Sekalipun tiada penarikan rasmi, tetapi secara praktikal seakan penarikan telah dibuat. Pendekatan PAS sudah banyak yang berbeza. Kita harapkan semua pihak tidak melihat Islam dari kacamata politik semata, Islam jauh lebih luas dari politik kepartian.
Namun, ini tidak bererti kita memandang ringan isu kafir-mengkafir. Jika terbukti masih ada orang PAS yang mengkafirkan UMNO maka DS Abdul Hadi patut tampil menjelaskan kekeliruan mereka. Oleh kerana beliau diserang tanpa diberikan peluang menerang, maka itu sesuatu yang tidak adil. Pihak media patut memberikan ruang yang mencukupi untuk beliau membuat penerangannya dalam media awam khususnya RTM. Mungkin ada perkara yang kita terlepas pandang.
Di samping PAS, jangan lupa dalam UMNO juga ada yang ‘kaki pengkafir dan penyesat’ orang lain. Seorang dua guru pondok yang masuk UMNO, ada yang menghukum akidah Menteri Besar Kelantan sesat bahkan kufur. Di Saudi, tokoh penghukum sesat umat iaitu al-Madkhali terkenal menyesatkan begitu ramai tokoh-tokoh ilmuwan Islam dan aktivis umat. Golongan ulama muda UMNO amat terpengaruh dengan aliran ini maka kita boleh tonton dalam internet dan tulisan mereka di akhbar menyesatkan tokoh-tokoh seperti Hasan al-Banna, Syed Qutb, Muhammad al-Ghazali, al-Qaradawi dan lain-lain. Ini juga mesti dikritik.
Media-media UMNO juga kebelakangan ini sering menjadikan isu akidah sebagai isu politik seperti yang PAS lakukan dalam era 80an. UMNO hendaklah berhati-hati, jangan ulangi perkara yang sama. UMNO hari ini seakan menuju PAS era Amanat Haji Hadi.
Hentikan
Maka kita tegaskan, bahawa kafir-mengkafir, ataupun sekadar sesat menyesat atas perbezaan parti satu kesalahan yang besar. Nabi s.a.w bersabda:
“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebut Majmu‘at al-Fatawa:
“Sebetulnya, sesiapa yang berijtihad dalam kalangan umat Muhammad s.a.w dengan tujuan mencari kebenaran lalu tersilap, dia tidak kafir. Bahkan diampunkan kesilapannya. Sesiapa yang telah nyata kepadanya apa yang datang dari Rasulullah s.a.w , lalu dia menentang setelah terang untuknya petunjuk lalu dia mengikut selain jalan kaum mukminin, maka dia kafir. Sesiapa yang mengikut nafsu, kurang mencari kebenaran serta bercakap tanpa ilmu maka dia pemaksiat dan berdosa. Boleh jadi dia fasik, ataupun baginya kebaikan-kebaikan lain yang lebih banyak dari kesalahannya. Bukan semua yang bersalah, berbuat bid’ah, jahil ataupun sesat itu menjadi kafir, bahkan mungkin tidak fasik dan tidak berdosa”.
Semua pihak hendaklah berhenti memainkan isu kafir-mengkafir. Kembali kepada politik yang dapat membina negara.
Dipetik dari drmaza.com

Ini bukanlah "Photoshop"

Ini bukan diedit.... ini tidak diphotoshopkan....


maybe after this, there would be.....

Malaysia Spring? Perhaps.....
hehehe...

- Affirmative Voice-

Thursday, January 10, 2013

Permainan Licik Media Arus Perdana

Petikan Akhbar Berita Harian 11 Januari 2013 (Dipetik dari bharian.com.my)


Hukuman penjara Ketua UMNO Pandan ditangguh

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan permohonan penangguhan hukuman penjara lapan tahun ke atas Ketua UMNO Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail, yang didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512. 

Hakim Datuk Amelia Tee Hong Geak Abdullah bagaimanapun memerintahkan jumlah jaminan dinaikkan daripada RM23,000 kepada RM46,000. 

Terdahulu peguam Datuk Jahaberdeen Mohd Yunus yang mewakili Abd Ghani memaklumkan mahkamah anak guamnya telah membayar denda RM977,560 yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini. Abd Ghani, 46, membayar denda itu semalam. 


Pada 28 Disember lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Rozilah Salleh menjatuhi hukuman penjara lapan tahun dan denda RM977,560 selepas Abd Ghani didapati bersalah terhadap 10 pertuduhan rasuah membabitkan RM193,512 antara Mei 2006 hingga Mac 2007. 

Bagi semua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.




Ini pula petikan akhbar Utusan Malaysia 11 Januari 2013 (dipetik dari utusan.com.my)

Hukuman penjara bekas ahli MPAJ ditangguh

KUALA LUMPUR 10 Jan. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan bekas Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abd. Ghani Ismail menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara lapan tahun yang dihadapinya setelah didapati bersalah atas 10 pertuduhan rasuah.

Hakim Amelia Tee Hong Geok Abdullah memutuskan demikian dengan jaminan sebanyak RM46,000 terhadap Abd. Ghani bagi kesemua 10 pertuduhan terbabit dan pasport miliknya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Beliau membuat keputusan tersebut selepas pihak pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sinti tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan itu memandangkan tertuduh telah membayar keseluruhan denda RM977,560 semalam.

Pada prosiding hari ini, Abd. Ghani, 46, yang sudah meringkuk di penjara selama dua minggu diwakili peguam bela, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos.


Jadi, korang nampak tak permainannya. Haihhh...rakyat boleh menilai dan tidak bodoh. Sampai bila hal sebegini akan berlarutan? Renungkanlah...



"dosa pahalaku Tuhan saja yang tahu"

-Affirmative Voice-

Wednesday, January 9, 2013

Nak cari perempuan cantik senang, nakkan kerajaan yang cantik mana nak cari? - Part 2

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Post yang sebelum ini bertajuk "Nak cari perempuan cantik senang, nakkan kerajaan yang cantik mana nak cari?" aku telah mengetengahkan beberapa kandungan penting dalam wujudkan kerajaan yang cantik. Kali ini aku akan menghuraikan berkenaan isu 1 iaitu "kebolehupayaan menguruskan sumber negara" ke arah mewujudkan kerajaan yang cantik.

Kebolehupayaan menguruskan sumber negara

Pertama sekali haruslah kita ketahui tentang dari mana sumber yang secara langsung menjadi pendapatan kepada negara ini kerajaan perolehi.

Sumber pendapatan negara terbahagi kepada 4:

1. Cukai
2. Bukan cukai
3. Pelbagai terimaan
4. Hasil Wilayah Persekutuan

Seterusnya kita mestilah mengetahui berapa banyak pendapatan yang diperoleh negara kita. Bagi tahun 2010 sahaja, jumlah pendapatan negara ialah sebanyak RM159.65 billion (Utusan Malaysia 24/10/2011). Ianya merangkumi:

1. Cukai RM109.52 billion(Cukai perkhidmatan, duti eksais, duti eksport dan lain-lain)
2. Bukan cukai RM48.87 billion (lesen, pendaftaran dan permit serta perolehan pelaburan)
3. Pelbagai terimaan RM793 juta
4. Hasil Wilayah Persekutan RM477 juta

Jumlah pendapatan negara sebanyak RM159.65 billion merupakan satu nilai yang sangat besar. Harus diingat, pendapatan negara yang berbillion ringgit ini datangnya juga daripada wang rakyat. Seharusnya rakyat secara langsung menikmati pendapatan negara yang sebegini banyak ini. 



Beberapa aspek yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan dalam membabitkan pendapatan negara dalam usaha rakyat menikmati sebaiknya pendapatan negara kita yang kaya ini;

1. Rakyat menikmati pendidikan pada tahap yang tinggi (pendidikan percuma, mungkin)
2. Rakyat menikmati tahap penjagaan kesihatan yang baik (meningkatkan taraf perkhidmatan kesihatan dan hospital)
3. Rakyat menikmati perbelanjaan harian yang rendah termasuk harga petrol (memampukan rakyat)
4. Rakyat menikmati insfrastruktur awam yang baik (lebih-lebih lagi di luar bandar)

Adakah aku menyatakan kerajaan pada hari ini tidak menyediakan semua ini? 4 aspek ini ditekankan atas dasar pernyataan pihak Pakatan Rakyat antaranya;

1. 4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.
2. 325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata sumbangan PETRONAS setahun adalah 81.25 billion ringgit.
3. 3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).

*sumber: Buku Jingga

Jikalau benar pernyataan-pernyataan PR ini, bermakna hasil pendapatan negara adalah lebih banyak berbanding yang dimaklumkan. Jika betul tiada ketirisan dan pengurusan yang baik tentang hasil negara ini, nescaya rakyat dapat menikmati sebaiknya pendapatan negara.

Jikalau pernyataan yang dihamburkan Pakatan Rakyat ini tidak benar, kerajaan yang sedia ada harus membuktikan hakikat sebenar pendapatan serta pengurusan hasil negara. Kerajaan yang cantik adalah kerajaan yang mampu memberikan sebaiknya kepada rakyat.

Jikalau betul pernyataan Pakatan Rakyat ini, perbelajaan sebanyak RM43 billion untuk memansuhkan PTPTN pun kerajaan boleh laksanakan kerana hasil negara adalah sangat besar!



Kerajaan yang cantik adalah kerajaan yang dapat memberikan kenikmatan pendapatan negara dengan baik kepada rakyat secara berpanjangan dan sekaligus meringankan bebanan rakyat. "Gula-gula" yang diberi tidak memampukan rakyat berpanjangan.

Kerajaan yang cantik adalah kerajaan yang menguruskan hasil pendapatan negara setelusnya dan sebaiknya. Kerajaan yang sedia ada harus buktikan!

p/s: Hakikat dan realiti. Adakah anda rasa kerajaan sedia ada cantik??

"dosa pahalaku Tuhan saja yang tahu"

-Affirmative Voice-

Monday, January 7, 2013

Mahasiswa Desak Kerajaan Selesai Isu Pengangguran Graduan Pendidikan IPTS


Kuala Lumpur - Presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia, Haziq Abdul Aziz dalam kenyataannya mendakwa kerajaan gagal menangani isu  pengangguran graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan IPTS.
 
Beliau juga mendakwa, "Perdana Menteri Dato Seri Najib Tun Razak pernah berjanji untuk menyelesaikan masalah pengangguran yang melibatkan graduan ISMP lepasan IPTS dalam Belanjawan 2013 namun janji hanya tinggal janji. "
 
"Baru-baru ini 2000 graduan ISMP UNITAR menganggur akibat tidak diberi peluang permohonan pekerjaan oleh Kementerian Pelajaran walaupun MQA mengiktiraf sijil ijazah pendidikan UNITAR.
 
"Malah, silibus ISMP UNITAR adalah sama dengan silibus ISMP di Maktab Perguruan dan IPTA. Namun mereka tidak diberi peluang yang sama rata dalam permohonan untuk menjadi guru."
 
Beliau juga turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pengajian Tinggi memberi kelulusan kepada UNITAR.
 
"Mengapa KPT memberi kelulusan kepada UNITAR untuk tawarkan kursus ISMP tetapi tidak dapat memberi jaminan peluang pekerjaan kepada graduan kursus tersebut?"
 
Tambah beliau lagi, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Menteri Pelajaran menegaskan bahawa sebarang urusan temuduga dan pengambilan  kerja untuk graduan ISMP lepasan IPTS tidak akan dilaksanakan kerana KPM memberi keutamaan kepada graduan IPTA.
 
"Ini jelas menunjukkan dasar pengambilan kerja yang tidak adil dan tidak berasaskan meritokrasi."
 
"Mahasiswa Keadilan menggesa supaya kerajaan dapat menyelesaikan masalah pengangguran graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan IPTS dengan diberi peluang sama rata dalam permohonan penempatan sebagai guru di sekolah-sekolah kerajaan dan permohonan adalah mengikut merit serta," katanya lagi.

Dipetik dari mahasiswakini.net

p/s: hum....apa puncanya??

Sunday, January 6, 2013

Teluk Intan's Vintage

Pagi-pagi lagi aku keluar rumah. Menikmati suasana pagi di Teluk Intan. Selepas sarapan, aku terlihat kelibat seorang pakcik tua menaiki........ beca....



Mungkin kanak-kanak kecik dinihari tidak mengenali beca. Tapi itulah hakikatnya, di sebalik kemajuan yang semakin terbit di bandar kecil ini, masih ada sebilangan warga Teluk Intan yang memegang harapan dan usaha mereka dengan beca.

Mungkin juga, Teluk Intan merupakan salah satu daripada bandar yang makin hari makin maju namun masih wujudnya beca. Sungguh klasik.

Kayuh perlahan menongkah arus permodenan di Teluk Intan


Jauh berbeza dengan pengusaha beca di Melaka kerana mereka sangat kormesial dan menjanjikan pulangan yang tinggi dengan adanya tarikan pelancongan di sekitar bandar itu, namun di Teluk Intan kewujudan "abang beca" bolehlah diklasifikasikan sebagai rare. Sangat rare.

5 star solute for this uncle!

"dosa pahalaku Tuhan saja yang tahu"

-Syamim-

Amaran Ribut Tropika Sonamu Akan Melanda Pantai Timur 7-9 Jan 2013




Kemaskini:
Ribut Tropika (SONAMU) dikesan pada Latitud 7.5 U dan Longitud 109.3 T, pada jam 8:00 malam 6 Januari 2013, kira-kira 718 km ke Timur Laut Dungun, Terengganu dan bergerak ke arah Barat dengan perlahan.
SEKSYEN A : AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KETIGA) – Kemaskini
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj dengan ketinggian ombak melebihi 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Kelantan, Terengganu, Samui, Condore, Reef North, Layang-Layang & Palawan dijangka berterusan sehingga Isnin, 7 Januari 2013.
Selain daripada itu, kawasan pantai di Kelantan & Terengganu terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Isnin,7 Januari 2013.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
SEKSYEN B: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI KEDUA)-Kemaskini
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Pahang, Johor Timur, Sarawak(Rejang, Mukah, Bintulu & Miri), WP Labuan, Sabah(Pedalaman, Pantai Barat & Kudat), Tioman & Reef South dijangka berterusan sehingga Jumaat, 11 Januari 2013.
Selain daripada itu, kawasan pantai di Pahang & Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Isnin, 7 Januari 2013.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
SEKSYEN C: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI PERTAMA)-Kemaskini
Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di kawasan perairan Sarawak(Kuching), Sabah(Sandakan), Bunguran & Sulu dijangka berterusan sehingga Jumaat, 11 Januari 2013.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
SEKSYEN D: AMARAN RIBUT PETIR MENYELURUH-Kemaskini
i) Aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Condore & Palawan dijangka berterusan sehingga malam, Ahad, 6 Januari 2013.
Pada masa yang sama, angin kencang dengan kelajuan melebihi 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter, adalah berbahaya kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.
ii) Aktiviti ribut petir yang berlaku di perairan Sabah (Kudat dan Pantai Barat) dijangka berterusan sehingga malam, Ahad, 6 Januari 2013.
Pada masa yang sama, angin kencang dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.
iii) Aktiviti ribut petir yang berlaku di kawasan perairan Sabah (Sandakan) & Sulu dijangka berterusan sehingga malam, Ahad, 6 Januari 2013.
Pada masa yang sama, angin kencang dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut.
Dikemaskini pada 06 Januari 2013, jam 08:59PM

Dipetik daripada informasi.my